Wednesday, 15 February 2017

Sesempoi Oblong Sempoi

        Assalamualaikum-warahmatullahi-wabarakatuh, diucapkan kepada para pembaca yang sudi melawat ke blog ini. Motif aku menulis pada kali ini adalah untuk menyambung penceritaan tentang aktiviti yang dilakukan untuk mengisi masa sementara menunggu keputusan SPM yang akan dimumkan pada bulan Mac kelak.

       Sejak bulan satu tahun ini pada setiap hari minggu, aku meluangkan masa bekerja dengan sudip dan kuali. Sekitar jam 4 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat, dapur gas dinyalakan di belakang halaman rumah. Bermulalah aktiviti penghasilan oblong daging lembu lada hitam yang akan dijual di koperasi Kolej Vokasional Sepang pada sebelah pagi itu.




          Proses penghasilan memakan masa selama satu hingga dua jam. Harga yang berpatutan diletakkan mengikut harga 'market'. Kuantiti jualan adalah berbeza-beza ada kalanya aku menghasilkan 80, 100 dan 120 biji bergantung kepada hari. Lain hari lain kuantitinya dan tidak tetap. Syukur ke hadrat ilahi, sambutan menggalakkan daripada warga kolej itu. Oblong habis dijual setiap hari.






        Stok dibeli di kedai pembekal barangan frozen Encik Osman yang terletak di Bangi Lama, kira-kira 20 kilometer perjalanan dari rumah. Aku ke sana pada setiap hari Ahad. Bahan-bahan penghasilan semuanya dibeli di situ. Hal ini kerana, harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan aku sudah pun kenal dengan Encik Osman.





    

         Boleh lah tahan, sekadar mengisi masa dan pada masa yang sama menjana pendapatan hasil jualan. Kini, aku bercadang untuk membesarkan skop jualan dengan menghantar ke SMK Putrajaya Presint 11(2) pula. Peluang menimba pengalaman tidak akan aku lepaskan sama sekali. Betapa susahnya orang yang berniaga burger termasuk penjaja di tepi jalan di luar sana mencari duit.


Oblong Sempoi Blackpepper
Oblong siap! untuk dijual








Thursday, 26 January 2017

Pendang-sawah-bendang

      Pendang merupakan nama satu daerah yang terletak di Kedah negeri jelapang padi. Sejak tamatnya peperiksaan SPM 2016 yang aku duduki selama satu bulan setengah tahun lalu, aku kerap ke sana mengikuti ayah untuk melakukan kerja-kerja sawah. Ayah ada membeli beberapa petak sawah di sana. Boleh juga dikatakan hampir setiap hujung minggu kami pergi ke sana berulang alik dari rumah di Sepang, Selangor. Perjalanan untuk ke sana biasanya memakan masa selama lima jam sekiranya tiada kesesakan lalulintas. 



Memotong dedahan pokok mati
     





Meracun supaya rumput tidak tumbuh di dalam petak sawah
    Biasanya, aku singgah dahulu di kampung belah ayah yang terletak di Sungai Dua, Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke Pendang. Sempat aku berjumpa dengan saudara mara yang lain dan bermalam di sana selama beberapa malam. Kesempatan yang menjadi peluang untuk ke sana akan hadir apabila ayah cuti pada hujung minggu dan apabila terdapat cuti umum. Aku ke sana untuk memenuhi beberapa tujuan antaranya memenuhi masa lapang selepas SPM kerana tiada sebarang kerja untuk dilakukan. Pendapatan juga boleh dijana.

  Selain itu, aku ingin menimba pengalaman dalam melakukan kerja-kerja sawah yang menjadi satu pekerjaan utama masyarakat terdahulu. Setakat ini, pelbagai perkara telah aku pelajari daripada sekecil-kecil benih hinggalah pokok padi yang sudah tua tumbuh meninggi hanya dengan pergi ke sana. Dalam hati berbisik "payahnya orang dulu-dulu cari duit". Cukup mengagumkan.

      Suasana di sekitar kawasan sawah amat sunyi dan jauh lebih tenang berbanding di bandar. Hanya kedengaran bunyi yang terhasil daripada flora dan fauna di kawasan sekitar. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut menampar pipi aku ketika berjalan. Walaupun berpeluh macam air paip yang mencurah, terasa dingin kerana angin meniup memberi aku rasa sedap yang tidak terhingga. 
       
     Pekerjaan yang aku lakukan sementara menunggu keputusan SPM yang akan diumumkan pada bulan Mac ini adalah amat berbeza berbanding rakan-rakan aku yang lain. Ada yang bekerja di pusat membeli belah, kedai serbaneka dan restoran makanan segera. Pekerjaan sebegini jarang diceburi budak muda pada era generasi kini kerana kurangnya minat dan menetap di kawasan bandar yang penduduknya tidak mengusahakan tanaman padi. Tidak salah untuk mencuba kerana bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Aku bekerja dan mendapat upah berdasarkan jam bekerja dan berhasrat menabung pendapatan untuk masa yang akan datang, lebih baik aku sediakan payung sebelum hujan.

Selesai kerja ayuh terjun ban!